Teo, Dari Gelandangan Kini Seorang Usahawan
Teo menunjukkan tempat di mana keluarganya pernah tinggal semasa
menjadi gelandangan.-PENERANGAN
Semangat sabar terus berusaha hadapi tekanan hidup, berjuang pantang
undur mencari jalan penyelesaian pasti bertemu kejayaan. Begitulah resam
tuah ayam yang membawa kejayaan hidup dari merempat gelendangan
akhirnya bertemu sinar kehidupan bergelar usahawan.
BERTEMAN AIR MATA DERITA, BERSAHABAT DENGAN SEMUT, NYAMUK
Hidup merempat dengan bertemankan air mata derita, bersahabat dengan
semut, nyamuk dan haiwan berbisa seperti kala jengking suatu yang biasa
sebagai seorang gelandangan.
Keperitan secebis pengalaman hidup Teo Lim Lai, 55, bersama isteri dan
lima anaknya yang masih kecil apabila terpaksa menjadikan kawasan bawah
tangga sebuah bangunan kedai sebagai tempat berteduh dari hujan dan
panas dianggap suatu dugaan pahit yang terpaksa ditempuh.
Teo yang berasal dari Sipitang, Sabah berhijrah ke W.P Labuan pada 1975
dan hanya bersekolah sehingga darjah enam di Sekolah Jenis Kebangsaan
Chung Hwa, Labuan.
Pada usia yang muda, Teo banyak melakukan pelbagai pekerjaan seperti
menjadi pembantu di kedai kopi,menjadi ejen jualan rokok,menjual sayuran
di kaki lima, menjual ubatan tradisional dan bekerja di firma guaman.
Bertemu jodoh pada tahun 1986 dengan gadis Labuan, Tan Geok Lin dan
dikurniakan sembilan anak sebelum empat dari mereka meninggal dunia
semasa kecil.
Adat hidup berumah tangga penuh dengan episod suka duka, turun dan naik
seperti putaran siang dan malam, kedaifan hidup akhirnya sampai kemuncak
apabila tujuh beranak itu terpaksa melalui siang dan malam sebagai
gelandangan selepas dihalau tuan rumah tempat mereka menyewa untuk
berteduh sekitar tahun 2001.
DUA MINGGU GELANDANGAN
Hidup gelandangan selama lebih kurang dua minggu, merupakan episod duka
yang tetap menjadi parut yang membekas di hati.
Apa tidaknya, Tohmahan yang mula menjadi buah mulut masyarakat,
dimanipulasi dengan difitnah menjual anak RM5000 seorang untuk
berfoya-foya, berjudi dan minum arak.
Cemuhan tidak mematahkan semangat, beliau mula menjual kacang rebus dan
telur rebus di pusat-pusat hiburan sekitar bandar Labuan namun usaha
masih tidak memberikan sinaran.
Salah satu cawangan utama Teo Tech Experts Outlet .-PENERANGAN
SINAR HARAPAN MULA MEMANCAR
Akhirnya pada tahun 2009, terpancar sinar harapan, apabila Bahagian
Pelaburan dan Sosio Ekonomi, Perbadanan Labuan (PL) memberikan tapak
berniaga pasar malam berserta bantuan alat berniaga seperti set
generator, kanopi dan komputer riba.
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, Teo mula berniaga pasar
malam dengan menjual aksesori telefon dan komputer.
Berkat kesabaran dan tidak mengenal erti penat lelah, pada tahun 2012,
Teo melangkah setapak apabila berjaya membuka kedai menjual telefon
bimbit iaitu Teo Tech Experts Outlet yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen
Labuan.
GELARAN USAHAWAN SEMAKIN MEMBARA
Gelaran Usahawan semakin membara, apabila setahun selepas itu, Teo terus
memacu kemajuan dalam kehidupan dengan membuka cawangan kedua dan
sehingga kini beliau mempunyai tujuh cawangan kedai aksesori serta
pembaikan telefon bimbit di seluruh W.P Labuan.
Kemajuan perniagaan tidak menjadikan beliau lupa diri bahkan beliau
bersyukur atas rezeki yang memihak kepadanya serta berterima kasih di
atas keprihatinan kerajaan.
“Apa yang saya ada sekarang ini bukanlah milik saya tetapi kepunyaan
Tuhan dan tidak akan saya lupa kepada golongan yang memerlukan bantuan.
“Saya merasa bersyukur dengan segala pencapaian yang saya ada kini dan
sangat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan melalui PL yang telah
memberikan bantuan kepada saya untuk membuka lembaran hidup dengan
berniaga.
“Saya juga terhutang budi dengan seluruh penduduk Labuan yang selama ini
memberikan sokongan sehingga perniagaan saya berkembang maju seperti
yang dapat dilihat hari ini,”kongsinya.
Teo juga melahirkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) yang pernah menyalurkan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) kepada
keluarganya sebelum ini.
Timbul rasa ingin menyumbang kembali kepada penduduk Labuan, Teo membuka
sebuah pusat latihan kemahiran membaiki telefon bimbit bagi membuka
jalan kepada anak muda di Pulau itu untuk mengasah bakat serta menambah
kemahiran yang mampu menjana pendapatan.
“Semuanya bermula apabila Pegawai dari Jabatan Pembangunan Kemahiran,
Kementerian Sumber Manusia mengunjungi kedai dan menawarkan syarikat
saya menyediakan pusat latihan.
“Setelah menghantar anak saya menjalani kursus di GIATMARA, pusat
latihan kami telah diberi kebenaran untuk mengambil pelajar dari
kalangan anak muda terutamanya yang berada di paras kemiskinan
negara,”katanya.
Pusat Latihan Teo Tech Experts Outlet telah melahirkan puluhan pelajar
yang berkemahiran serta mempunyai segulung Sijil Kemahiran Malaysia
(SKM).
Menurut salah seorang pelajar, Jeoseh Kuininseh, 31, latihan yang diberi
percuma sepenuhnya itu amat berharga buat dirinya untuk menambah
kemahiran diri.
“Kemahiran yang saya pelajari ini amat berguna dan boleh membuka jalan
untuk saya membuka perniagaan sendiri.
“Jika ada modal, memang saya bercadang untuk membuka pusat pembaikan
telefon untuk menambah pendapatan keluarga,”katanya yang pernah bekerja
dalam sektor minyak dan gas selama lima tahun.
Peribahasa berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian,
bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian amat sesuai
menggambarkan kesusahan dan kejayaan yang dikecapi Teo.
Apabila ditanya mengenai tips kejayaan beliau, Teo menjelaskan beliau
suka bergaul dengan orang yang lebih tua dan berpengalaman.
“Saya suka bergaul dengan ramai orang terutama mereka yang berusia dan
mempunyai pengalaman dalam membina kehidupan yang lebih berjaya.
“Selain itu, pengalaman hidup susah bersama keluarga telah mengajar saya
untuk mencari idea untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
“Paling penting adalah kehendak diri kita sendiri antara mahu atau tidak
untuk bertindak serta mengecapi apa sahaja yang diimpikan dalam
hidup,”tegasnya.
Dua orang anaknya membantu menguruskan perniagaan
mereka.-PENERANGAN
KEJAYAAN TERUS DIIKTIRAF
Kejayaan beliau ternyata mendapat perhatian pihak tertentu apabila
pernah mendapat pengiktirafan antaranya menerima Anugerah Penjaja kecil
Terbaik Wilayah Persekutuan pada tahun 2015 yang disampaikan sendiri
oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan,Dato’ Dr Loga Bala Mohan
Jaganathan.
Selain itu, Teo pernah dianugerahkan sebagai ‘Bapa Perkasa’ oleh Jabatan
Pendidikan W.P Labuan di atas pencapaian puteri tunggalnya, Teo Su Chin
yang mewakili Malaysia dalam Acara Olahraga,Sukan Sekolah-Sekolah Asean
di Jakarta pada 2007.
Teo yang mempunyai sijil kejurulatihan peringkat dua dari Majlis Sukan
Negara (MSN) dan bertindak sebagai jurulatih peribadi, berjaya
membimbing anaknya menggapai pingat emas dalam acara lari 1500 meter dan
3000 meter di beberapa kejohanan Olahraga dalam dan luar negara.
Pengiktirafan tidak terhenti disitu apabila beliau dilantik sebagai Ahli
Majlis Pembangunan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan untuk tahun
2016-2018 yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan.
Sedar akan tanggungjawab dan dunia peniaga kecil yang kian mencabar, Teo
menubuhkan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Harmoni bagi membela
nasib dan kebajikan peniaga-peniaga kecil di W.P Labuan.
“Persatuan ini mempunyai 140 orang ahli yang hampir kesemua adalah
peniaga bumiputera yang aktif berniaga di Pulau ini.
“Kami berperanan menyelaras dan memaklumkan semua penjaja kecil mengenai
sebarang peluang untuk berniaga terutama pada musim perayaan atau dalam
acara-acara besar yang dilangsungkan di Labuan.
“Selain itu, Persatuan ini juga membantu penjaja kecil untuk mendapatkan
pinjaman mikro tanpa faedah sebanyak RM50 ribu yang telah diperuntukkan
kerajaan bagi membantu peniaga mengembangkan perniagaan.
Teo menerima Anugerah Penjaja kecil Terbaik Wilayah Persekutuan
pada tahun 2015.-PENERANGAN
TIDAK LUPA PADA YANG MEMERLUKAN BANTUAN
Dengan slogan ‘Menyatupadukan ahli, menegakkan kebenaran, menyokong yang
makruf dan menolak yang mungkar’ persatuan ini berjaya menambah
bilangan penjaja kecil dari kalangan warga tempatan dan warganegara
Malaysia berbanding sebelum ini.
Seperti payung yang menjadi tempat berlindung dari hujan dan panas,
Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Harmoni juga menyalurkan bantuan
kepada ahli-ahli yang ditimpa musibah.
“Kami berterima kasih sekali lagi kepada kerajaan kerana dengan dana
yang disumbangkan kami dapat menhulurkan bantuan kepada ahli-ahli yang
ditimpa musibah seperti kebakaran, kematian ahli keluarga dan
sebagainya.
“Kami juga sering menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan
seperti bantuan kepada warga emas,ibu tunggal dan fakir miskin,”katanya.
Menjadi satu kepuasan bagi Teo kerana rata-rata ahli berpuas hati dengan
peranan yang dimainkan persatuan dalam menyelesaikan masalah penjaja
kecil seperti mendapatkan tapak berniaga,mengambil berat kebajikan
penjaja, dan menyuarakan suara penjaja kecil kepada pihak berkuasa
tempatan.
Nasihat Teo kepada mereka yang menghadapi detik sukar dalam kehidupan
dan ingin memulakan perniagaan, jangan terlalu fikirkan modal besar
untuk berniaga kerana modal yang paling besar adalah idea dan keinginan
untuk belajar memperbaiki diri dari masa ke masa.
Teo sempat menitipkan kata-kata mutiara sebagai perkongsian dan azimat
untuk menempuh kehidupan yang menjanjikan seribu satu cabaran.
Manfaat diri dalam pelajaran,
Hanyalah itu jadi bekalan untuk hidup di masa hadapan,
Ilmu itu pelindung diri,
seperti kebun berpagar duri,
seperti sinar intan baiduri./PENERANGAN-
Kediaman Teo sekeluarga kini hasil penat lelah berniaga.-PENERANGAN
SUMBER: sayangsabah.com
Post A Comment
No comments :