Pasukan Khas Siasat Sindiket Pengeluaran Kad Pengenalan Palsu
Kad Pengenalan Palsu - Gambar Fail
PUTRAJAYA, 9 Mac : Pasukan khas akan ditubuhkan bagi menjalankan
siasatan terhadap kumpulan yang terlibat dengan sindiket pengeluaran kad
pengenalan palsu di Sabah.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam kenyataan
bersama sempena mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di
Sabah (JKPWAS-Induk) yang berlangsung di Putrajaya hari ini.
Kenyataan bersama itu menyebut kerajaan memandang serius berhubung kes
pengeluaran dan pengedaran kad pengenalan palsu yang masih dilakukan
oleh sindiket tertentu.
Bagi meningkatkan penguatkuasaan, kerajaan melalui Jawatankuasa
Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) memutuskan penubuhan pasukan
khas itu untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas sindiket
pengeluaran kad pengenalan palsu seperti yang berlaku di Sandakan dan
Tawau, Sabah baru-baru ini, katanya.
“Siasatan lebih menyeluruh perlu digerakkan sehingga individu-individu
yang bertindak sebagai dalang sebenar dapat dikenal pasti dan diambil
tindakan undang-undang,” kata kenyataan bersama itu.
Kenyataan bersama itu menyebut sungguhpun dokumen yang dikeluarkan tidak
sah kerana tidak akan wujud dalam sistem dan rekod pendaftaran negara
namun tindakan lebih agresif dan tegas perlu dilakukan.
“Ia bukan sahaja melibatkan penipuan kepada penerimanya tetapi turut
menjejaskan nama baik kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Ia turut menegaskan bahawa kerajaan turut memberi fokus akan
permasalahan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di
perairan negeri.
Dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kepentingan umum, kerajaan
telah mengambil inisiatif dengan meningkatkan kawalan di pintu masuk di
negeri Sabah, kata kenyataan itu. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga telah mengambil tindakan proaktif
seperti pengambilan maklumat biometrik bagi setiap warga asing yang
masuk dan keluar dari negeri Sabah serta pemasangan alat sistem
pengecaman imej di setiap pintu masuk di Sabah.
Kenyataan bersama itu menyebut berdasarkan rekod Majlis Keselamatan
Negara (MKN) Sabah, jumlah keseluruhan PATI di Sabah yang telah diusir
sejak tahun 1990 sehingga 3 Mac tahun ini adalah seramai 553,692 orang.
Bagi 2017 sahaja, jumlah pengusiran sehingga 3 Mac adalah seramai 1,120
orang.
Kenyataan bersama itu juga memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan
aktiviti pemindahan (ke kapal) telah dibuka semula berkuat kuasa pada 1
Februari lepas (2017) bagi membantu meningkatkan kembali kegiatan
ekonomi di Sabah.
Ia melibatkan aktiviti perdagangan biasa iaitu import dan eksport
barangan sahaja tidak termasuk perdagangan petroleum.
Namun, menurut kenyataan bersama itu, kerajaan masih mengekalkan
larangan penggantungan bagi aktiviti perdagangan tukar barang (barter
trade).
— BERNAMA
Labels
Featured
Post A Comment
No comments :