Tiada rakyat Korea Utara di Sabah
PENGARAH Jabatan Imigresen Sabah, Musa Sulaiman. – Foto Datu Ruslan Sulai
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen mengesahkan tiada rakyat Korea
Utara berada di Sabah ketika ini, sama ada bekerja dalam mana-mana
sektor mahu pun sebagai pelancong.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Musa Sulaiman, berkata pemeriksaan
pihaknya mendapati tiada warga Korea Utara memasuki negeri ini atas apa
juga sebab sama ada untuk bekerja atau melancong sejak awal tahun ini.
“Kita juga mendapati tiada rakyat Korea Utara menjalankan perniagaan di
Sabah. Lazimnya, hanya rakyat Korea Selatan melancong ke negeri ini,”
katanya ketika dihubung di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Musa berkata, ketiadaan pekerja dari Korea Utara di
Sabah antara lain kerana negara itu tidak termasuk sebagai negara sumber
pekerja di negeri ini.
“Hanya empat negara menjadi negara sumber pekerja di negeri ini iaitu
Filipina, Indonesia, Nepal dan Myanmar. Kita memuji tindakan tegas
kerajaan Sabah dalam mengambil pekerja luar di negeri ini,” katanya.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan warga Korea Utara
keluar dari negara ini, susulan keputusan Pyongyang menyekat rakyat
Malaysia meninggalkan negara itu.
– BH Online
Post A Comment
No comments :