Polis halang warga Korea Utara tinggalkan Malaysia
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bersedia dengan
pihak berkuasa lain untuk melaksanakan arahan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak supaya menghalang semua warga Korea Utara daripada
meninggalkan negara ini.
“Ya, kita akan melaksakan arahan PM (Najib) itu,” kata Ketua Polis
Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama melalui
WhatsApp di sini.
Menurutnya selain di Semenanjung Malaysia terdapat rakyat Korea Utara
juga dilaporkan bekerja di Sarawak.
Perdana Menteri mengeluarkan arahan itu dari Jakarta sebagai tindak
balas terhadap arahan Kementerian Luar Korea Utara yang menyekat rakyat
Malaysia di negara itu daripada meninggalkan Korea Utara.
Semalam Duta Besar Korea Utara, Kang Chol, yang diisytiharkan sebagai
‘Persona Non Grata’ oleh kerajaan Malaysia, meninggalkan Malaysia
setelah diarahkan berbuat demikian oleh Kementerian Luar dalam tempoh 48
jam berkuat kuasa Sabtu lepas.
Kang Chol dilaporkan membuat tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap
Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim
Chol, yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, pada 13
Februari.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia mengumumkan warga Korea Utara dikehendaki
memohon visa untuk memasuki negara ini berkuat kuasa 6 Mac.
Jong-nam dilaporkan dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu sebelum sempat berlepas ke Macau,
China. – BERNAMA
Labels
Isu Semasa
Post A Comment
No comments :